PARIT BUNTAR: Kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang di Kuala Kurau kelmarin, ditemukan selamat di Klang, Selangor, awal pagi tadi.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian Deputi Superintenden Hudri Mohd Arshad, pihaknya menerima aduan berhubung kehilangan kanak-kanak perempuan itu, semalam.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kanak-kanak tersebut bertindak keluar dari rumah berpunca daripada rasa tidak puas hati dan merajuk kerana sering ditegur oleh kakak dan ibunya.

"Siasatan pihak polis mendapati kanak-kanak tersebut disedari telah keluar dari rumah oleh bapanya setelah selesai menunaikan solat Maghrib pada Rabu.

"Pihak keluarga berusaha mencari di kawasan sekitar serta menghubungi telefon bimbit kanak-kanak tersebut namun gagal.

"Justeru, susulan daripada laporan yang dibuat oleh bapa mangsa, satu kertas siasatan Orang Hilang (OH) telah dibuka oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, Perak.

"Hasil risikan serta siasatan pihak polis berjaya mengesan keberadaan OH di kawasan Klang, Selangor," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan, kanak-kanak itu berjaya ditemukan pada jam 2 pagi tadi.

Katanya lagi, kanak-kanak itu kemudian dibawa pulang ke IPD Kerian untuk tindakan siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarga.

Beliau menambah, kanak-kanak itu dipercayai pergi ke Klang menaiki bas seorang diri sehingga ke Terminal Bersepadu Selatan, Sungai Besi.

"Dia kemudian menaiki Grab ke rumah rakan di Klang yang dikenali melalui laman Facebook lebih kurang sebulan lalu," katanya.

Dalam pada itu, Hudri menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan serta tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar.

Terdahulu media melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dilaporkan hilang dari rumahnya di Kuala Kurau.

Kanak-kanak terbabit disedari hilang oleh ahli keluarga pada jam 7 malam dan dipercayai keluar dengan membawa beg pakaian dan wang tunai sekitar RM200.